Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
sitizarinah@hmetro.com.my
KEMBAR TIGA... Auni Haziqah, Auni Naqibah dan Auni Faqihah si kembar tiga yang mempunyai keletah berbeza.
SIAPA yang tidak teruja melihat aksi si kembar yang cukup menghiburkan hati. Melihat wajah seiras mereka sukar menentukan siapa abang, kakak atau adik. Ditambah pula dengan padanan pakaian serta dandanan yang sama menjadikan mereka sukar dikenali.
Jika ditanya kepada wanita, pasti tidak menolak kelahiran kembar. Ini kerana ramai beranggapan hanya dengan sekali mengandung saja mereka mampu memperoleh dua atau tiga anak sekali gus.
CERIA...Noorhany dan suami, Huszaini ceria mendukung ketiga-tiga kembar mereka. Namun, penjagaan serta bajet yang perlu dikeluarkan juga bertambah. Malah ramai ibu yang memiliki anak kembar mengakui selain perasaan bahagia dan ceria dengan keletah anak, persiapan daripada segi mental dan emosi sangat penting bagi memastikan ibu bapa dapat menjaga anak kembar dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersyukur
Bagi Noorhany Ishak, 33, alahan teruk pada lima bulan pertama kandungan adalah petanda awal yang mereka bakal dikurniakan anak kembar tiga.Ketika kandungan memasuki bulan kedua, Noorhany memberitahu perutnya membesar sama seperti wanita mengandung lima bulan dan setiap pagi dia mengalami muntah teruk sehingga sesak nafas. “Saya ingatkan hanya alahan biasa tetapi apabila saya muntah teruk dan sakit ari-ari, ia memaksa saya membuat ujian darah dan air kencing. Ujian itu hanya mendapati yang saya mengandung kembar dua, namun ujian imbasan kedua menunjukkan kandungan saya kembar tiga,” katanya.
Sejak itu, Noorhany dan suaminya Huszaini Haron, 33, membuat persiapan daripada segi mental dan fizikal terutama menyediakan keperluan bayi. Namun apa yang menggusarkan Noorhany adalah pengalaman untuk menyusukan anak dengan susu ibu. “Sejak mengetahui mengandung kembar saya banyak mencari bahan di Internet dan membaca buku dan majalah mengenai penyusuan susu ibu. Ketika anak pertama, Aqil Muhammad Rayyan saya berjaya menyusu sehingga setahun. Justeru saya berharap dapat melakukan perkara sama untuk pasangan kembar tiga ini,” katanya.
Selain itu, Noorhany tidak menyediakan keperluan yang banyak kerana doktor memberitahu kemungkinan kembar akan ditahan di wad disebabkan berat badan yang tidak mencukupi selain risiko yang bakal dihadapi ketika kelahiran.
Ketika kandungan memasuki usia lima bulan, Noorhany meminta supaya kelahiran dilakukan secara normal namun doktor tidak membenarkannya kerana takut sekiranya bayi lemas. Justeru, jangkaan doktor minggu ke-34 adalah masa sesuai untuk melahirkan anak. “Malangnya memasuki minggu ke-31, kembar tidak menunjukkan pergerakan yang aktif. Pakar perubatan mulai risau dan mengarahkan pembedahan segera dilakukan pada minggu itu.
“Akhirnya pada 13 November 2009, Auni Faqihah dilahirkan dengan berat 1.3 kilogram diikuti Auni Haziqah 1.2 kilogram dan Auni Naqibah dengan berat satu kilogram dengan perbezaan kelahiran hanya dua minit,” katanya. Selepas dilahirkan, kembar terpaksa dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama 46 hari sehingga mencapai berat badan dua kilogram atau sekurang-kurangnya 1.8 kilogram.
“Di hospital mereka mendapat rawatan dan penjagaan rapi daripada semua pakar dan kami berulang alik ke hospital setiap hari ketika waktu melawat untuk membekalkan susu dan belajar kaedah penjagaan untuk anak lahir pramatang. “Bagaimanapun selepas keluar hospital, susu ibu tidak mencukupi dan kami disarankan memberi susu untuk bayi pramatang atas nasihat doktor. Ini bagi meningkatkan berat badan bayi agar tidak turun semasa di bawah jagaan kami,” ujarnya.
Menurut Noorhany, penjagaan bayi pramatang sangat rumit kerana bayi mudah terkena penyakit dan penurunan berat badan ketara jika tidak sihat. Justeru ketika kembar berusia tiga hingga lima bulan, pasangan ini menjaga dengan mengelak orang ramai daripada sering menyentuhnya. Ini semua atas nasihat doktor bagi mengelak berat badan bayi susut dan jatuh sakit.
Noorhany dan Huszaini sangat bersyukur kerana kembar sangat mudah dijaga. Namun pasangan ini mengambil masa dua minggu selepas keluar daripada NICU untuk memahami perangai dan kehendak setiap kembar. “Dua minggu pertama selepas keluar NICU adalah tempoh paling mencabar. Namun semuanya dipermudahkan Allah. Boleh dikatakan kembar sangat pandai berdikari dan bermain sesama sendiri. Mereka juga jarang melakukan perkara serentak,” jelasnya yang memerlukan masa mengenali ketiga-tiga anaknya.
Menurut Huszaini, selain berat badan, wajah masing-masing juga ada perbezaannya. Kembar pertama, Auni Faqihah agak tembam dan bermata sepet. Kembar kedua, Auni Haziqah mempunyai raut wajah manis, paling gemar senyum dan menari manakala kembar ketiga Auni Naqibah, bertubuh kecil dan ada tahi lalat pada bahu kiri. Bagi menyenangkan urusan penjagaan, Noorhany yang bertugas di Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya, mengambil cuti separuh gaji selama tiga bulan.
Selepas bekerja, semua anak-anak dihantar ke taska berhampiran pejabat Noorhany bagi membolehkannya melawat mereka pada waktu tengah hari. Bagi Umniyyah Ulfa Hussine, 29, dan suami Sidek Ismail, 29, kelahiran kembar Puteri Sarah Rayyana Sidek dan Puteri Khayra Raneya Sidek memberi makna yang sangat mendalam kepada mereka.
Ini kerana pasangan suami isteri ini langsung tidak mengetahui keluarga sebelah ibu mempunyai keturunan kembar. Menurut Umniyyah, sejak awal kandungan sehingga melahirkan anak dia mengalami muntah teruk sehingga berat badan menurun hampir 15 kilogram.
“Sejak awal kandungan saya tidak boleh makan dan muntah dengan teruk. Setelah merujuk kepada doktor pada minggu ke 12, doktor mengesahkan saya mengandung kembar,” katanya. Sejak itu, Umniyyah dan suami menyediakan kelengkapan untuk kelahiran anak terutama pakaian yang harus dibeli dua.
Menurut Umniyah, selepas melahirkan anak pada 10 Februari 2008 pada usia kandungan 36 minggu dia berpantang di rumah ibunya. Namun Umniyah tidak terlalu mengikut pantang yang betul terutama daripada segi pemakanan kerana memerlukan tenaga untuk menguruskan kembar. Memang agak mencabar melahirkan kembar kerana ini pengalaman pertama.
“Walaupun ibu saya bekerja, dia banyak membantu menjaga kembar kerana kedua-duanya meragam ketika dalam pantang. Selain itu sesi penyusuan juga sangat mencabar namun menyeronokkan kerana saya mempunyai pengalaman baru menyusukan anak kembar,” ulasnya.
Selain meragam, kembar membesar seperti kanak-kanak lain, cuma apabila sakit kedua-duanya mahukan perhatian serentak. Mereka juga sering melakukan perkara bersama-sama misalnya menyusu, makan, buang air, bermain, tidur malah sering bergaduh bersama.
“Perkara ini semestinya memberi cabaran kepada saya melayan setiap kerenah mereka. Namun ibu bapa harus menyediakan keperluan fizikal dan mental supaya dapat menghadapi pelbagai kemungkinan sekiranya kembar jatuh sakit serentak,” jelasnya.
Perbezaan pada kembar boleh dilihat daripada segi fizikal. Puteri Khayra Raneya mempunyai tanda lahir pada badan dan tahi lalat di atas bibir. Adik juga lebih tinggi sedikit berbanding kakak. Lenggok bahasa dan suara juga berbeza.
Puteri Sarah Rayyana lebih manja dan menunjukkan ciri-ciri seorang kakak yang lebih prihatin dengan keperluan si adik serta sering mengalah.
Bagi Umniyyah, ibu yang bakal melahirkan anak kembar tidak perlu risau kerana memiliki anak kembar akan menguatkan semangat dan menjadikan keluarga lebih bahagia.
(Seronoknya dapat kembar ya, tapi keturunan cik rin tak der yang kembar)