bhjb@bharian.com.my
2011/03/09
ROJALI (depan) bersama penduduk kampung menunjukkan menunjukkan pokok pisang yang dirosakkan gajah liar di Kampung Padang Ragut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
KOTA TINGGI: Pencerobohan gajah liar mencari makan sekitar tiga kampung dekat Tanjung Sedili sejak awal tahun ini, bukan saja merosakkan tanaman dan kebun, malah mengancam keselamatan penduduk. Antara kawasan yang dimasuki haiwan itu termasuk sekitar Kampung Padang Ragut, Kampung Singapura dan Kampung Tuan Sheh dekat Tanjung Sedili di sini. Penduduk mendakwa, awal tahun ini sepasang gajah dewasa dan dua anaknya berkeliaran dan berlindung di kawasan hutan Kampung Belukar Durian dan Lok Heng, manakala yang terbaru pada Jumaat lalu membabitkan seekor gajah yang dipercayai datang dari hutan Kambau di sini.
Penduduk, Rojali Doladi, 53, berkata mereka mula bimbang kerana kumpulan gajah liar itu mula memasuki kawasan kampung untuk mencari makan sejak Jumaat lalu.
Katanya, gajah itu berkeliaran mencari makan waktu malam dengan memakan umbut pokok kelapa dan kelapa sawit serta rumpun pisang yang banyak ditanam penduduk di sini.
“Sasaran utama gajah ini ialah pokok pisang dan anak kelapa sawit yang baru ditanam serta di kawasan perkampungan yang ada banyak pokok kelapa dan sumber air seperti parit.
“Banyak tanaman dirosakkan dan dimusnahkan haiwan liar ini hingga menjejaskan mata pencarian dan menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk, ” katanya yang ditemui di sini.
Ketua Kampung Semayong, Shikh Kassim Islam, 61, berkata kumpulan gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk kampung itu biasanya berkeliaran mulai tengah malam hingga awal pagi.
Katanya, sejak dua bulan lalu, kebun sawit miliknya sudah dua kali diceroboh gajah termasuk yang terbaru tiga hari lalu yang menyebabkan hampir 40 pokok sawit musnah.
“Setakat ini, hanya tanaman seperti sawit dan pisang menjadi sasaran gajah itu. Kebimbangan kami ialah kalau gajah liar terbabit menyerang rumah penduduk tanpa menghiraukan penghuninya yang sedang tidur pada waktu malam, ” katanya.
Ketua Kampung Tanjung Sedili, Ibrahim Yahya, 58, berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat membuat pemantauan selain membantu menghalau atau memindahkan segera haiwan itu ke Taman Negara sebelum lebih banyak tanaman milik penduduk musnah.
“Kami faham kawasan habitat asal gajah ini mungkin kekurangan makanan akibat pembangunan menyebabkan ia mula bergerak keluar dan memasuki kawasan kebun penduduk.
“Namun, pihak berkuasa perlu mengambil langkah menangani pencerobohan gajah ke kawasan kebun milik penduduk ini sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Dalam satu kejadian pada 6 Oktober tahun lalu, seorang pemandu treler Muhammad Ibrahim, 53, cedera selepas kenderaan yang dipandunya merempuh seekor gajah yang melintas jalan berhampiran kubu peninggalan Perang Dunia Kedua di Kilometer 62.2 Jalan Johor Bahru-Mersing.
Gajah yang dipercayai cedera dalam kemalangan itu melarikan diri dari tempat kejadian sebelum ditemui mati dalam kebun sawit dekat Mawai, kira-kira seminggu kemudian.
(Cik rin lahir di teluk jeri, kota tinggi)